|
Kehamilan
Metro Maternity merupakan hospital yang
menyediakan penjagaan kesihatan dan perubatan yang menyeluruh bagi
kaum wanita.
Kami menyediakan khidmat pemeriksaan dan
kaunseling pra-kehamilan. Selain itu kami juga menawarkan kaunseling untuk
merancang keluarga, pemerhatian sepanjang tempoh kehamilan, penerangan
prosedur-prosedur bersalin, dan penjagaan selepas bersalin.
Pemerhatian semasa tempoh kehamilan termasuk pemerhatian kandungan secara
dekat oleh doktor dan juru ultrabunyi. Kesihatan
ibu juga turut dipantau. Ibu yang berisiko mengalami komplikasi dikenalpasti dengan
menjalankan ujian tambahan seperti ujian ketahanan glukosa (GTT) dan
amniosintesis. Misi kami adalah untuk memastikan kesihatan ibu dan
bayi. Kami menjanjikan penjagaan terbaik bagi anda dan bayi anda
sepanjang tempoh kandungan, semasa bersalin dan seterusnya.
1.
Pemeriksaan
kandungan
2.
Jadual
pemeriksaan
3.
Kelahiran
4.
Selepas bersalin
Pemeriksaan kandungan
Proses mengandung adalah suatu perjalanan yang istimewa dalam
proses
menjadi seorang ibu. Sepanjang tempoh kandungan iaitu 9 bulan
sebelum bersalin, pemeriksaan berkala adalah penting untuk meramal,
mencegah dan mengesan komplikasi pada ibu dan bayi dalam
kandungan. Ianya
adalah penting kerana 15% kandungan akan mengalami komplikasi yang
memerlukan
rawatan dan rundingan doktor.
Tanda-tanda mengandung termasuk:
-
Tidak datang haid
-
Payudara membengkak
-
Rasa loya dan muntah-muntah
-
Kerap membuang air kecil
-
Sakit belakang dan sakit pada tulang rusuk
-
Cepat letih
Biasanya, anda akan mula berjumpa doktor untuk
pemeriksaan kehamilan selepas 12 minggu tidak datang haid. Lawatan
pertama ini adalah penting untuk:
-
Pengesahan kandungan (bukan
semua kes tidak datang haid disebabkan mengandung).
-
Menentukan sama ada bayi dalam kandungan masih
bernyawa.
-
Menentukan usia kehamilan dan
menganggar tarikh bersalin.
-
Menentukan masalah awal kandungan
seperti masalah keguguran, kehamilan ektopik (embrio menempel dan
membesar di luar rahim)dan kandungan anggur (disebabkan kandungan
disenyawakan secara abnormal)
kembali ke
atas
Jadual pemeriksaan


Semasa kunjungan berikutnya pemeriksaan seperti
berikut akan dijalankan:
|
1) |
Menimbang berat badan; ibu
mengandung akan mengalami pertambahan berat badan secara
purata 0.5kg seminggu dalam tempoh 15 hingga 38 minggu dan
jumlah purata pertambahan berat badan adalah 12kg sepanjang
tempoh mengandung. |
|
2) |
Tekanan darah; untuk
mengesan darah tinggi sewaktu tempoh kehamilan. |
|
3) |
Mengesan edema (bengkak
yang disebabkan oleh bendalir tisu dalam badan); ia biasanya
boleh dilihat di buku lali. Jika bertambah teruk, ia merupakan
petunjuk kepada masalah lain seperti darah tinggi atau
penyakit buah pinggang.Meninggikan kaki di atas bantal semasa
tidur boleh memperbaiki keadaan. |
|
4) |
Ujian air kencing;
untuk mengesan paras glukosa dan protein dalam air kencing.
Sekiranya paras gula dan protein tinggi, ini menunjukkan
diabetes ketika hamil dan juga pra-eklamsia (darah tinggi
yang disebabkan oleh kehamilan) |
|
5) |
Imbasan ultrabunyi; untuk
melihat tumbesaran fetus dan mengesan sehingga 80%
ketaknormalan pada struktur fetus. Imbasan secara lebih
terperinci harus dilakukan semasa kandungan berusia
18-20 minggu. |
|
6) |
Ujian darah; dilakukan pada
minggu ke-18 kandungan untuk memeriksa; |
| |
(a)
Hemoglobin; mengesan sama ada ibu menghidap anemia atau
thalassemia minor |
| |
(b) Kumpulan darah dan
faktor rhesus |
| |
(c)
Antigen dan antibodi terhadap Hepatitis B;untuk menentukan
status pembawa hepatitis B |
| |
(d) Human Immunodeficiency Virus
(HIV) antibodi; untuk menentukan status pembawa HIV |
| |
(e) VDRL; untuk mengesan
siflis |
|
7) |
Amniosintesis; disarankan kepada ibu-ibu yang berumur lebih
dari 35 tahun atau yang pernah melahirkan anak sindrom Down
atau kurang upaya. Ianya dilakukan pada minggu ke-16 kandungan
dan boleh mengesan sindrom Down, Patau dan Edward. |
Ibu yang sudah berumur (35 tahun ke atas) perlu
berjumpa doktor lebih kerap kerana mereka mempunyai risiko yang
lebih tinggi untuk mendapat:
-
Kecacatan kromosom pada fetus
-
Darah tinggi yang disebabkan oleh kandungan
-
Diabetes yang disebabkan oleh kandungan
-
Pendarahan
-
Tumbesaran terbatas dalam rahim
(IUGR) - bayi terlalu kecil semasa tempoh kandungan.
kembali ke
atas
Kelahiran
Sekiranya mempunyai tanda-tanda hendak bersalin, anda perlu pergi
ke hospital yang telah dirancang. Tanda tanda bersalin termasuk:
sakit bersalin, petunjuk (terdapat kemerahan tanda seperti darah dan
lendir di permukaaan serviks) dan pemecahan air ketuban.
Sebaik sahaja anda dimasukkan ke wad, kakitangan
hospital akan melakukan perkara-perkara berikut:
-
Cardiotocography (CTG); untuk
memonitor degupan jantung fetus
-
Enema; untuk membersihkan usus besar
-
Pemeriksaan vagina;
untuk memonitor bukaan serviks
-
Memasang titisan intravena; tiub
plastik akan dimasukkan ke dalam salur darah. Tiub ini adalah
untuk memasukkan ubat jika berlaku kes kecemasan.
Terdapat 3 peringkat proses bersalin:
-
Peringkat pertama
Serviks akan terbuka perlahan-lahan sehingga bukaan berukuran 10 cm bagi membolehkan bayi
keluar. Pengecutan otot pada mulanya agak perlahan setiap 10 minit
dan bertambah kuat dan kerap. Pada akhir peringkat pertama
pengecutan berlaku setiap 2 hingga 3 minit dan berterusan selama 40
saat. Peringkat pertama biasanya mengambil masa lebih kurang
8 jam.
-
Peringkat kedua
Peringkat ini bermula apabila serviks telah
terbuka sepenuhnya dan berakhir apabila bayi dilahirkan. Dengan
bukaan serviks yang luas, bayi akan bergerak turun sehingga
kepalanya muncul di bukaan vagina. Selepas kepala dan bahunya keluar,
bayi boleh keluar dengan mudah. Peringkat ini mengambil masa 30
minit. Biasanya episiotomy (potongan di bahagian bawah vagina)
dilakukan untuk mengelakkan vagina dari terkoyak.
-
Peringkat ketiga
Selepas bayi dilahirkan, uterus akan terus
mengecut dan ia akan dikeluarkan. Peringkat ini mengambil masa
lebih kurang 20 minit.
Terdapat 5 jenis kelahiran. Ianya
bergantung kepada keadaan kesihatan ibu dan kandungannya.
-
Bersalin spontan melalui vagina (SVD);
bayi dilahirkan melalui vagina. Sewaktu dilahirkan, kepala bayi
keluar dahulu dan doktor membantu bayi keluar dengan membuat
insisi di bahagian bawah vagina.
-
Bersalin sonsang;
punggung bayi keluar dahulu semasa dilahirkan.
-
Bersalin menggunakan forsep;
Kaedah ini digunakan sekiranya bayi tidak bergerak atau ibu
kehabisan tenaga untuk meneran. Forsep digunakan untuk memegang
kepala bayi dan kemudian ditarik keluar untuk mempercepatkan
kelahiran.
-
Bersalin menggunakan vakum;
Kaedah ini digunakan sekiranya bayi tidak bergerak atau ibu
kehabisan tenaga untuk meneran. Cawan vakum diletakkan di kepala
bayi untuk membolehkan kuasa vakum akan menyedut bayi keluar.
-
Bersalin secara pembedahan (ceasarian section);
Kaedah ini digunakan apabila bayi tidak bergerak keluar, ibu tidak
mempunyai tenaga untuk meneran, terdapat masalah pada plasenta,
saiz bayi
terlalu besar atau kedudukan bayi yang tidak normal contohnya bayi
berada dalam kedudukan sonsang.
kembali ke
atas
Selepas bersalin
Melahirkan merupakan proses yang memenatkan dan memerlukan
kekuatan mental dan fizikal. Selain itu, perubahan hormon sepanjang
tempoh kehamilan juga menyebabkan anda berasa penat dan agak
sensitif selepas bersalin terutamanya dalam tempoh 3 hingga 5 hari
selepas bersalin. Penjagaan selepas bersalin harus diberi perhatian
untuk memastikan proses penyembuhan berjalan lancar:
-
Mengamalkan diet yang sihat; untuk
mendapatkan tenaga dan nutrien yang mencukupi
-
Minum banyak air; terutamanya bagi ibu
yang menyusukan anak.
-
Rehat secukupnya; tidur 8 jam sehari.
-
Mengamalkan senaman; Ia membantu untuk
menenangkan diri dan baik untuk proses penyembuhan badan.
Walaubagaimanapun, anda perlu mendapat nasihat dari pengamal
perubatan sebelum mula bersenam. Sekiranya anda bersalin melalui
pembedahan, anda dinasihatkan bersenam hanya selepas 2 minggu
kelahiran.
Sekiranya anda masih berasa tertekan dan tidak
sihat berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan nasihat.
kembali ke atas |